Wednesday 23 November 2011

Permainan Tradisional Bahagian 1

      
Sejarah Asal
      Permainan congkak dipercayai berasal dari Afrika atau Arab. Permainan ini tersebar ke Asia apabila pedagang-pedagang Arab datang ke Asia untuk berdagang. Permainan tradisional ini dikatakan berkembang di Melaka. Hal ini demikian kerana, pada zaman itu Melaka merupakan pusat perdagangan. Perkataan congkak ini pula diambil daripada perkataan “congak” iaitu pengiraan secara mental. Pada zaman dahulu, golongan bangsawan bermain congkak menggunakan papan congkak yang telah diukir, sementara golongan rakyat jelata mengorek lubang pada tanah untuk bermain congkak. Zaman berubah, kaedah untuk bermain congkak turut terkena tempiasnya. Kini permainan congkak diminati di seluruh dunia. Penggemar-penggemar congkak pada era ini boleh melayari internet untuk bermain congkak.

Cara Bermain
     
         Dua orang pemain yang akan bermain congkak akan duduk berhadapan menhadap congkak. Setelah itu, mereka akan memulakan permainan serentak dengan mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu ke dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung pihak lawan.
         Permainan akan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan ke dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti sekiranya buah jatuh dan mati di kampung sendiri. Selain itu, pemain juga boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) dalam kampung tersebut.
         Permainan boleh diteruskan oleh pihak lawan sehingga buahnya mati. Jika buah jatuh di rumah sendiri, maka pihak lawan boleh meneruskan gilirannya dengan mengambil buah yang masih banyak di kampungnya. Namun, jika buah jatuh di kampung pihak lawan yang kosong maka giliran pemain tadi akan tamat dan beralih kepada pihak lawan. Setelah pusingan pertama tamat maka setiap pemain dikehendaki mengisi kampung dengan buah congkak. Jika ada kampung yang kekurangan buah maka kampung itu dianggap terbakar. Kampung yang telah terbakar ini tidak boleh diisi semula dalam pusingan kedua,ketiga,dan keempat sehinggalah pihak lawan mengaku kalah.

Cara Membuat
         Congkak dibuat mengikut kemampuan si pembuat congkak. Biasanya congkak diperbuat daripada kayu hutan seperti Merbau dan Keruing. Di samping itu, ada juga papan congkak yang dihasilkan daripada kayu nangka dan rambutan. Pembuat congkak akan melicinkan kayu yang telah dibelah menggunakan pahat dan parang. Setelah itu, kayu tersebut akan dipahat untuk membuat lubang dalam dua baris yang akan dipanggil sebagai kampung. Manakala di bahagian kedua-dua hujung congkak akan ditebuk untuk membuat satu lagi lubang yang dikenali sebagai rumah.
         Demi keselesaan pemain-pemain congkak, pahat yang bermata halus digunakan untuk melicinkan lubang-lubang yang telah ditebuk. Selepas proses menebuk lubang selesai maka kerja-kerja mengukir congkak akan dilakukan. Biasanya pembuat congkak akan membuat ukiran tentang haiwan,kosmos dan tumbuh-tumbuhan. Kemudian, mereka akan menyapu varnis warna perak kekuningan atu kemerahan.
        Pada era yang lebih moden ini, terdapat congkak yang diperbuat daripada plastik keras dan kayu mampat dalam pelbagai rekaan. Bukan itu sahaja, congkak juga diubahsuai agar dapat dibawa atau dibimbit pergi ke mana sahaja oleh penggemar-penggemar congkak. Buah congkak tidak memerlukan buah yang khusus kerana buah congkak yang diperlukan lebih kepada bentuk bulat dan selesa untuk digunakan ketika bermain. Sebagai contoh, guli dan biji getah digunakan oleh masyarakat tempatan ketika bermain congkak.   

No comments:

Post a Comment