Wednesday, 23 November 2011

Linguistik Sejarah

Pengenalan
      Linguistik Sejarah merupakan cabang ilmu bahasa yang mengkaji perkembangan bahasa melalui masa. Kajian ini turut dikenali sebagai diakronik. Hal ini demikian kerana, data tentang sesuatu bahasa akan dibandingkan untuk meneliti perubahan dan perkembangannya dalam suatu tempoh masa tertentu. Sebagai contoh, bentuk bahasa Melayu yang digunakan dalam teks-teks hikayat Melayu lama jelas memperlihatkan perbezaan yang sangat ketara dengan bentuk bahasa Melayu yang digunakan dalam novel-novel Melayu pada hari ini. Berdasarkan kamus linguistik pula, Linguistik Sejarah diertikan sebagai pendekatan atau kaedah yang digunakan dalam cabang linguistik untuk mengkaji perubahan jangka pendek atau jangka panjang dalam sistem bunyi, tatabahasa dan kosa kata suatu bahasa. Menurut Roger Lass dalam bukunya yang berjudul History Linguistics and Language Change (1997:17), Linguistik Sejarah adalah historiografi, disiplin yang membuat cerita dan tafsiran dari apa yang berlaku dalam bahasa dari semasa ke semasa. Zaman Linguistik Sejarah bermula pada abad ke-19, dan zaman klasik Linguistik Sejarah dikatakan bermula sekitar tahun 1820-1870-an. Transformasi bahasa ini tidak berlaku secara spontan, tetapi secara beransur-ansur. Oleh itu,dalam kertas kerja ini,saya akan membincangkan kepentingan Linguistik Sejarah, perubahan bahasa, aspek perbandingan bahasa, kaedah rekonstruksi, dan kaedah pengelompokan.

Kepentingan Linguistik Sejarah
      Antara kepentingan Linguistik Sejarah ialah mengkaji hubungan kekerabatan bahasa-bahasa yang berada dalam satu rumpun yang sama melalui penelitian terhadap aspek linguistik iaitu fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Selain itu, Linguistik Sejarah penting untuk membuat rekonstruksi bahasa-bahasa yang ada pada masa kini kepada bentuk bahasa protonya. Subgrouping atau pengelompokan ke atas bahasa yang berada dalam rumpun yang sama mengikut subkelompok bahasa tertentu juga boleh dilakukan. Seterusnya kajian untuk mengenal pasti pusat penyebaran bahasa-bahasa proto juga boleh dibuat di samping menentukan migrasi purba yang pernah berlaku. Sehingga ke hari ini, kajian rekonstruksi bahasa dan pengelompokan bahasa-bahasa yang berada dalam rumpun bahasa dunia ini telah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan. Contohnya, bahasa Melayu Purba telah direkonstruksi daripada bahasa Melayu, Banjar Hulu, Minangkabau, Iban dan dialek Melayu Jakarta. Kajian-kajian yang terkini juga telah membuktikan bahawa bahasa Melayu berasal dari Kalimantan bahagian Barat.

Zaman Linguistik Perbandingan

*Bermula pada abad ke-19
*Menumpukan usaha ke arah menentukan rumpun-rumpun bahasa di dunia melalui perbandingan
Contoh:mother(bahasa Inggeris)
             Moeder(Belanda)
        ~membawa maksud `emak`
*Tokoh-tokoh:R.K.Rask (1789-1832),Jacob Grimm (1785-1863),Hermann Grassmann dan Karl Vernal.
*Hermann Grassmann dan Karl Vernal mempolopori hukum bunyi (hukum Grimm dan Verner)
*Melalui hukum pergeseran bunyi,kekeluargaan bahasa dan juga induk bahasa di Eropah dapat ditentukan
*Hukum Verner juga digunakan untuk menentukan hubungan kekeluargaan antara induk bahasa Eropah dengan bahasa Sanskrit/bahasa induk bagi bahasa Indo Eropah.                  

Zaman Pertengahan

*Bermula pada abad pertengahan.
*Bahasa yang dikaji ialah bahasa Latin-dianggap sebagai bahasa ilmu pengetahuan,kebudayaan,diplomasi dan untuk mendapat pekerjaan.
*Buku tatabahasa yang digunakan ialah buku tatabahasa Priscian dan Donatus
*Pengkajian tatabahasa pada zaman ini menggabungkan sintaksis dan logic
*Konsep falsafah:~Kesempurnaan sesuatu ayat yang dihasilkan
                             ~Ayat yang terhasil boleh jadi sempurna/sebaliknya
                             ~sepotong ayat terdiri daripada KN dan KK 
*Terdapat juga konsep kologasi iaitu menyatukan kata-kata daripada golongan yang berlainan untuk menjadi ayat.
*Sarjana-sarjana Latin cuba mengesani kategori-kategori tatabahasa menurut kategori logic,epistemology dan metafizik berdasarkan kerja-kerja Priscian dan Donatus

Permainan Tradisional Bahagian 3

WAU
     
Sejarah Asal
      Kemunculan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan asal-usulnya. Menurut sejarahwan yang bernama Clive Hart, layang-layang yang ada di Malaysia ini berasal dari negara China. Hal ini demikian kerana, terdapat persamaan dari segi reka bentuknya. Pada masa dahulu, daun kayu yang agak lebar digunakan untuk membuat wau. Kemungkinan besar evolusi layang-layang di Malaysia ini  turut diresapi oleh unsur-unsur kebudayaan dari  China.
      Permainan wau ini turut dikaitkan dengan mitos “semangat padi” yang berasal dari Kedah. Diceritakan bahawa ada sepasang suami isteri yang bekerja sebagai petani dengan menanam padi huma. Suatu hari mereka telah terjumpa dengan seorang bayi perempuan. Mereka memelihara bayi tersebut sehingga dewasa. Si Suami ingin merakamkan rasa syukurnya dan terlalu menyayangi anak gadisnya yang sedang meningkat dewasa itu, lalu beliau selalu membawakan makanan ke tempat anak gadisnya bermain di baluh padi.
Perbuatan si suami itu tadi telah menimbulkan rasa cemburu si isteri lalu menyebabkan dia menyiksa anak gadis mereka itu. Akibatnya anak gadis mereka melarikan diri mengikut arah mata angin barat. Kesannya padi yang dikerjakan oleh mereka tidak menjadi. Menurut Tok Nujum, anak gadis yang mereka besarkan itu sebenarnya adalah “semangat padi”. Tok Nujum menasihatkan petani tersebut untuk memohon maaf dengan cara membuat sebuah lembaga yang menyerupai “wau bulan” lalu diterbangkan menggunakan tali jerami.      
       
Cara Bermain
    
      Wau harus dimainkan di kawasan yang lapang seperti  tepi pantai, sawah padi atau padang. Kawasan yang mempunyai banyak bangunan, pokok dan tiang elektrik tidak sesuai untuk dijadikan kawasan untuk bermain wau. Apabila tekanan angin di bahagian permukaan wau semakin kuat maka kemampuan untuk naik lebih tinggi semakin meningkat. Sebaliknya pula apabila adanya daya tarikan graviti iaitu daya yang akan menarik wau untuk jatuh ke bawah.
      Permainan wau dimainkan dengan menggunakan satu tali sahaja supaya mudah dikawal di samping muda diterbangkan. Terdapat dua kaedah menaikkan wau iaitu pelancaran dari jarak jauh dan jarak dekat dengan menggunakan tali tangsi. Bagi teknik jarak dekat, pemain perlu berdiri membelakangkan angin, dengan sebelah tangannya memegang badan wau dan dihadapkan kearah angin. Tangan yang di sebelah pula memegang gelung tali wau dan melepaskan wau secara perlahan-lahan sehingga wau naik ke udara. Apabila angin bertiup lemah maka pemain harus menggulung tali wau supaya wau tidak jatuh ke tanah.
      Bagi menurunkan wau, dua orang pemain diperlukan, iaitu seorang berperanan untuk menggulung tali dan seorang lagi menarik tali. Penarik tali ialah orang yang menarik tali manakala orang yang menggulung tali ialah orang yang menggulung tali yang telah ditarik oleh penarik tali wau tadi.

Cara membuat
      Antara bahan yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan. Di samping itu, kepakaran dan kemahiran juga sangat penting untuk menghasilkan wau yang bermutu dan berkualiti. Sebagai contoh, pembuat wau perlu tahu memilih bahan mentah yang sesuai dan kemahiran kraftangan serta mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang aerodinamik.
      Oleh itu,bagi menghasilkan wau yang betul-betul berkualiti, proses pemilihan buluh atau bahan mentah perlu dilakukan dengan teliti. Sebagai contoh, pemilihan buluh untuk membuat wau. Rumpun buluh yang dipilih mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukannya di kawasan semak atau dusun. Seelok-eloknya,buluh yang dipilih kelihatan kering dan berada di tengah rumpun.
      Seterusnya, bagi kaedah penyimpanan buluh, sekurang-kurangnya buluh tersebut disimpan selama setahun sebelum diraut menjadi rangka wau. Buluh itu juga perlu disimpan di tempat yang tinggi untuk mengelakkan buluh tersebut dipijak.
      Proses seterusnya,meraut buluh. Buluh diraut untuk membuang ruas dan kulit di samping memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Selepas itu, buluh-buluh tersebut akan digosok dengan kertas pasir dan bingkai untuk wau juga dibuat. Kemudian proses memasang tanah dijalankan. Tanah di sini membawa maksud satu lapisan asas yang dipasang pada wau supaya wau tersebut tahan lasak dan tidak ditembusi angin. Proses-proses untuk mengukur,melukis dan menyobek corak akan dilakukan selepas proses-proses di atas selesai.

Permainan Tradisional Bahagian 2

GASING
Sejarah Asal.
      Gasing merupakan salah satu permainan tradisional yang agak popular sejak dahulu lagi. Biasanya gasing dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing ini turut dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.  
      Sebelum tahun 1970, permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berbeza antara satu daerah dengan daerah yang lain. Hal ini demikian kerana, bukan hanya bentuk, saiz dan kegunaan gasing yang membezakan sifat gasing malah bentuk sistem permainan yang berbeza turut menambahkan lagi jurang perbezaan. Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing.
      Menurut sumber dari Terengganu pula, gasing berasal daripada permainan memusing buah berembang. Buah berembang berbentuk bulat, licin dan agak leper. Buah yang mudah ditemui di pesisir pantai ini lazimnya  digunakan oleh ahli silat sebagai satu latihan untuk menguatkan tangan..
Di samping itu, buah berembang ini juga dijadikan sebagai permainan. Buah berembang, ini akan dipusingkan dengan menggunakan tangan. Buah berembang yang berpusing paling lama dan paling ligat dikira paling gah dan pemusingnya dianggap sebagai pemenang.

        Gasing dicipta berdasarkan bentuk buah berembang. Perkataan gasing berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu ‘gah berpusing’. Gah dalam istilah permainan gasing bermaksud berpusing dengan ligat dan tegak.
           Pemain gasing veteran yang berasal dari Sungai Pahang menyatakan bahawa gasing dahulunya merupakan senjata yang digunakan untuk memburu binatang. Sebagai contoh, gasing yang berbentuk leper dan bulat akan berputar dengan ligat apabila dilemparkan ke badan binatang buruan. Berdasarkan pendapat tersebut maka dikatakan bahawa idea permainan gasing dikatakan muncul akibat aktiviti masa lapang para pemburu, yang pada mulanya bertujuan menguji kecekapan melempar gasing ke sasaran.
Cara Bermain
     

       Bagi mereka yang minat untuk bermain gasing, mereka boleh menggunakan dua cara iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Kaedah gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya itu akan supaya mengetuk gasing lawan. Kaedah Gasing uri pula dipertandingkan bagi menguji selama mana tempoh gasing berpusing.
       Bukan hanya golongan dewasa sahaja yang boleh menikmati keseronokan bermain gasing, kanak-kanak juga boleh turut serta. Sebagai contoh, kanak-kanak ini boleh bermain gasing pinang. Lazimnya buah pinang muda akan dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawah, setelah itu dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu.
      Tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter diperlukan untuk dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Hal ini perlu dilakukan agar gasing tersebut akan berpusing apabila dilemparkan. Setelah gasing itu dilemparkan ke atas tanah serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.

Permainan Tradisional Bahagian 1

      
Sejarah Asal
      Permainan congkak dipercayai berasal dari Afrika atau Arab. Permainan ini tersebar ke Asia apabila pedagang-pedagang Arab datang ke Asia untuk berdagang. Permainan tradisional ini dikatakan berkembang di Melaka. Hal ini demikian kerana, pada zaman itu Melaka merupakan pusat perdagangan. Perkataan congkak ini pula diambil daripada perkataan “congak” iaitu pengiraan secara mental. Pada zaman dahulu, golongan bangsawan bermain congkak menggunakan papan congkak yang telah diukir, sementara golongan rakyat jelata mengorek lubang pada tanah untuk bermain congkak. Zaman berubah, kaedah untuk bermain congkak turut terkena tempiasnya. Kini permainan congkak diminati di seluruh dunia. Penggemar-penggemar congkak pada era ini boleh melayari internet untuk bermain congkak.

Cara Bermain
     
         Dua orang pemain yang akan bermain congkak akan duduk berhadapan menhadap congkak. Setelah itu, mereka akan memulakan permainan serentak dengan mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu ke dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung pihak lawan.
         Permainan akan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan ke dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti sekiranya buah jatuh dan mati di kampung sendiri. Selain itu, pemain juga boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) dalam kampung tersebut.
         Permainan boleh diteruskan oleh pihak lawan sehingga buahnya mati. Jika buah jatuh di rumah sendiri, maka pihak lawan boleh meneruskan gilirannya dengan mengambil buah yang masih banyak di kampungnya. Namun, jika buah jatuh di kampung pihak lawan yang kosong maka giliran pemain tadi akan tamat dan beralih kepada pihak lawan. Setelah pusingan pertama tamat maka setiap pemain dikehendaki mengisi kampung dengan buah congkak. Jika ada kampung yang kekurangan buah maka kampung itu dianggap terbakar. Kampung yang telah terbakar ini tidak boleh diisi semula dalam pusingan kedua,ketiga,dan keempat sehinggalah pihak lawan mengaku kalah.

Cara Membuat
         Congkak dibuat mengikut kemampuan si pembuat congkak. Biasanya congkak diperbuat daripada kayu hutan seperti Merbau dan Keruing. Di samping itu, ada juga papan congkak yang dihasilkan daripada kayu nangka dan rambutan. Pembuat congkak akan melicinkan kayu yang telah dibelah menggunakan pahat dan parang. Setelah itu, kayu tersebut akan dipahat untuk membuat lubang dalam dua baris yang akan dipanggil sebagai kampung. Manakala di bahagian kedua-dua hujung congkak akan ditebuk untuk membuat satu lagi lubang yang dikenali sebagai rumah.
         Demi keselesaan pemain-pemain congkak, pahat yang bermata halus digunakan untuk melicinkan lubang-lubang yang telah ditebuk. Selepas proses menebuk lubang selesai maka kerja-kerja mengukir congkak akan dilakukan. Biasanya pembuat congkak akan membuat ukiran tentang haiwan,kosmos dan tumbuh-tumbuhan. Kemudian, mereka akan menyapu varnis warna perak kekuningan atu kemerahan.
        Pada era yang lebih moden ini, terdapat congkak yang diperbuat daripada plastik keras dan kayu mampat dalam pelbagai rekaan. Bukan itu sahaja, congkak juga diubahsuai agar dapat dibawa atau dibimbit pergi ke mana sahaja oleh penggemar-penggemar congkak. Buah congkak tidak memerlukan buah yang khusus kerana buah congkak yang diperlukan lebih kepada bentuk bulat dan selesa untuk digunakan ketika bermain. Sebagai contoh, guli dan biji getah digunakan oleh masyarakat tempatan ketika bermain congkak.   

Tuesday, 22 November 2011

  KATA ADJEKTIF
            Dalam bahasa Melayu kata adjektif turut dikenali sebagai kata sifat. Kata adjektif ini merupakan kata sifat yang menerangkan keadaan atau sifat kata nama atau frasa nama. Kata adjektif ini berbeza dengan kata nama dan kata kerja. Hal ini demikian kerana, kata adjektif boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat seperti amat, sungguh, sangat, paling, sekali, terlalu, agak, benar dan lain-lain lagi.
Contoh :
1-      Amat besar
2-      Amat kecil
3-      Rendah sungguh
4-      Paling pandai
5-      Sangat pendek
6-      Terlalu lambat
7-      Agak lama
8-      Jauh benar
9-      Cepat sekali
10-  Agak baharu

Kata nama dan kata kerja tidak boleh mendahului kata penguat dan jika ianya berlaku maka ayat yang terhasil tidak gramatis dan kelihatan janggal

Contohnya :
1-      Amat pisang
2-      Sungguh universiti
3-      Sangat rambutan
4-      Paling rumah
5-      Kapal sekali
6-      Amat makan
7-      Sangat menyanyi
8-      Paling memukul

Kata Kerja Dalam Bahasa Melayu

  •  KATA KERJA

          Kata kerja merupakan makna perbuatan atau perlakuan. Kata kerja ini ditandai oleh imbuhan seperti me-, me-..-kan, me-..-i, memper-..., memper-..-kan, memper-..-i,ber-,ber-..-an, dan ber-..-kan.
Contoh :
·         Melukis
·         Memperbesar
·         Berbantalkan
·         Memperingati

          Kata adjektif berbeza dengan kata kerja yang tidak ditandai oleh imbuhan. Hal ini demikian kerana, kata adjektif boleh menerima kata penguat sedangkan kata kerja yang tidak ditandai imbuhan tidak boleh ditandai dengan kata penguat.

Contoh :
·         Amat minum
·         Sangat makan
·         Paling jual

Kata Nama dalam Bahasa Melayu

  KATA NAMA

          Kata nama ialah kata yang menamakan atau menyatakan makna orang, tempat, benda, binatang dan seumpamanya. Kata nama ini boleh disertai kata bilangan di depannya, dan kata ganti tunjuk ini atau itu di belakangnya. Kata nama dalam bahasa Melayu terbahagi kepada tiga jenis iaitu kata nama am, kata nama khas dan kata ganti nama.

      i-Kata Nama Am
Kata nama am ialah kata yang merujuk kepada manusia, binatang, benda atau perkara-perkara yang umum seperti anak, bapa, ibu, petani, kucing, harimau dan kecantikan.
Kata nama am ini pula terbahagi kepada dua iaitu kata nama am konkrit dan kata nama am abstrak.

Contoh kata nama am konkrit (jenis kata nama bagi benda-benda yang boleh dipegang secara konkrit) :
·         Buku
·         Basikal
·         Kapal terbang

Contoh kata nama am abstrak (jenis kata nama bagi perkara-perkara yang mujarad atau yang bukan benda konkrit) :
·         Keindahan
·         Impian
·         Kelebihan

ii-Kata nama khas
         Merupakan kata nama yang merujuk nama orang, nama tempat dan nama benda khas. Biasanya kata nama khas dieja menggunakan huruf besar pada pangkalnya. Kata nama khas ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup ini pula dibahagikan kepada dua kategori lagi iaitu kata nama khas hidup manusia dan kata nama khas hidup bukan manusia.

Contoh kata nama khas hidup( manusia) : Halim, Salina, Raja Noreen

Contoh kata nama khas hidup( bukan manusia) : Comel, Si Putih, Ananas Comosus(nanas)

Contoh kata nama khas tak hidup :  Kuala Lumpur, Kamus Pelajar, Ahli Mangku Negara, Tanjong Malim

iii-Kata Ganti Nama
          Digunakan untuk mengganti nama diri, nama tempat, nama tunjuk, nama tak tentu dan nama tanya. Biasanya kata ganti nama diri ialah kata yang digunakan untuk menggantikan kata nama orang dan kata ganti nama diri terdiri daripada tiga jenis iaitu kata ganti nama diri pertama, kata ganti nama diri kedua dan kata nama ganti diri ketiga.
Contoh :
            Kata ganti nama
Kata ganti nama diri pertama :
·         Aku, hamba, Beta, Saya dan Patik (membawa makna tunggal)
·         Kami dan kita (kata ganti nama diri pertama jamak)
Kata ganti nama diri kedua :
·         Anda, awak, kamu, engkau dan tuanku (membawa makna tunggal)

Kata ganti nama diri ketiga :
·         Dia, ia, beliau dan –nya (membawa makna tunggal)
·         Mereka (membawa makna jamak)
Kata ganti nama tempat
Digunakan untuk menggantikan nama tempat.
Contoh : sana, sini, situ
~Ketua askar itu tinggal di sana.


Kata ganti nama tunjuk
Digunakan untuk menunjukkan sesuatu benda, tempat, manusia dan binatang.
Contoh :ini (digunakan untuk menunjukkan sesuatu itu dekat jaraknya),
 Itu (digunakan untuk menunjukkan sesuatu itu letaknya jauh.)
                        ~Ini rumah saya.
                        ~Itu komputer riba awak.
            
                       Kata ganti nama tanya
                        Digunakan untuk menanyakan sesuatu hal seperti :
                        a)apa : Ini apa?
                        b)berapa : Bilangan orang yang terlibat dalam kejadian itu berapa?
                        c)mana : Ibu kamu mana?
                        d)siapa : Orang itu siapa?

Asal Usul Bangsa Melayu

Bangsa Melayu dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan yang kemudiannya berhijrah ke tanah Melayu. Berdasarkan catatan sejarah terdapat dua golongan Melayu di Tanah Melayu iaitu Melayu Proto dan Melayu Deutro. Tetapi mereka tidak datang bersama-sama. Kumpulan pertama yang datang ke tanah Melayu ialah Melayu Proto. Mereka berhijrah ke tanah Melayu pada zaman batu baru iaitu 2500 sebelum masihi. Dipercayai orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera adalah golongan Melayu Proto. 


Kumpulan yang kedua iaitu Melayu Deutro  berpindah ke Asia Tenggara pada zaman logam iaitu 1500 sebelum masihi. Dipercayai orang Malaysia yang bijak dan mahir pada hari ini adalah mereka yang berketurunan Melayu Deutro. Hal ini demikian kerana, mereka lebih bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam berbanding Melayu Proto. Orang Melayu Deutro tinggal di kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.


Orang Melayu Proto dan Melayu Deutro dikenali sebagai Austronesia.




Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.

Asal Usul Bahasa Melayu

Sejarawan belum dapat mengenal pasti Asal usul Perkataan Melayu. Walau bagaimanapun, ada beberapa bukti sejarah yang dicatatkan cuba mengaitkan asal usul bahasa Melayu seperti yang dicatatkan oleh orang China sekitar 644-645 Masihi yang menyatakan sebuah kerajaan Mo-lo-yeu memberi atau mempersembahkan hasil bumi kepada raja China.


Ada yang mengatakan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera. Hal ini demikian kerana terdapat sebatang sungai yang deras alirannya di daerah tersebut iaitu Sungai Melayu. Satu lagi catatan yang dicatat oleh orang China iaitu catatan seorang rahib buddha yang bernama I-Tsing. I-Tsing menggunakan kata ma-lo-yu untuk dua kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi. Berbeza pula dengan bahasa Jawa Kuno. Perkataan Mlayu diertikan sebagai berlari atau mengembara. Hal ini disandarkan kepada Indo-Melayu (Austronesia) yang bergerak dari Yunan. 









Prasejarah Malaysia

Kronologi


1.1 40 000-35 000 (zaman batu awal)
1.2 35 000 -10 000 (zaman batu pertengahan)
1.3 10 000- 5000 (zaman neolitik)
1.4 2500 (zaman besi / logam)
1.5 (zaman hindu awal)


Dipercayai orang Melayu Proto datang ke tanah Melayu pada tahun 2500 s.m


Zaman prasejarah Malaysia dijejaki seawal 200 000 tahun yang lalu berikutan penemuan alat-alat yang diperbuat daripada batu dan dijumpai di tapak arkeologi Kota Tampan, Lenggong. Rangka manusia terawal, Perak Man yang berusia 11 000 tahun juga turut dijumpai di Lenggong. Selain itu, terdapat kawasan pembuatan peralatan batu yang masih terpelihara dan dibuat menggunakan andas dan tukul-tukul batu.
Rangka manusia terawal, Perak Man


~Ptolemy menamakan Tanah Melayu sebagai Golden Chersones (semenanjung Emas).
~Pendatang-pendatang Hindu Awal membuka petempatan mereka sendiri. Mereka memperkenalkan kebudayaan, seni bahasa, seni bina, bahasa tulisan, perkataan, makanan, adat resam, agama, sistem kerajaan dan pendidikan Moral.
~Mereka turut membangunkan Kerajaan pertama Melayu tempatan iaitu Srivijaya yang bertahan selama 1400 tahun.