Pengenalan
Linguistik Sejarah merupakan cabang ilmu bahasa yang mengkaji perkembangan bahasa melalui masa. Kajian ini turut dikenali sebagai diakronik. Hal ini demikian kerana, data tentang sesuatu bahasa akan dibandingkan untuk meneliti perubahan dan perkembangannya dalam suatu tempoh masa tertentu. Sebagai contoh, bentuk bahasa Melayu yang digunakan dalam teks-teks hikayat Melayu lama jelas memperlihatkan perbezaan yang sangat ketara dengan bentuk bahasa Melayu yang digunakan dalam novel-novel Melayu pada hari ini. Berdasarkan kamus linguistik pula, Linguistik Sejarah diertikan sebagai pendekatan atau kaedah yang digunakan dalam cabang linguistik untuk mengkaji perubahan jangka pendek atau jangka panjang dalam sistem bunyi, tatabahasa dan kosa kata suatu bahasa. Menurut Roger Lass dalam bukunya yang berjudul History Linguistics and Language Change (1997:17), Linguistik Sejarah adalah historiografi, disiplin yang membuat cerita dan tafsiran dari apa yang berlaku dalam bahasa dari semasa ke semasa. Zaman Linguistik Sejarah bermula pada abad ke-19, dan zaman klasik Linguistik Sejarah dikatakan bermula sekitar tahun 1820-1870-an. Transformasi bahasa ini tidak berlaku secara spontan, tetapi secara beransur-ansur. Oleh itu,dalam kertas kerja ini,saya akan membincangkan kepentingan Linguistik Sejarah, perubahan bahasa, aspek perbandingan bahasa, kaedah rekonstruksi, dan kaedah pengelompokan.
Kepentingan Linguistik Sejarah
Antara kepentingan Linguistik Sejarah ialah mengkaji hubungan kekerabatan bahasa-bahasa yang berada dalam satu rumpun yang sama melalui penelitian terhadap aspek linguistik iaitu fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Selain itu, Linguistik Sejarah penting untuk membuat rekonstruksi bahasa-bahasa yang ada pada masa kini kepada bentuk bahasa protonya. Subgrouping atau pengelompokan ke atas bahasa yang berada dalam rumpun yang sama mengikut subkelompok bahasa tertentu juga boleh dilakukan. Seterusnya kajian untuk mengenal pasti pusat penyebaran bahasa-bahasa proto juga boleh dibuat di samping menentukan migrasi purba yang pernah berlaku. Sehingga ke hari ini, kajian rekonstruksi bahasa dan pengelompokan bahasa-bahasa yang berada dalam rumpun bahasa dunia ini telah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan. Contohnya, bahasa Melayu Purba telah direkonstruksi daripada bahasa Melayu, Banjar Hulu, Minangkabau, Iban dan dialek Melayu Jakarta. Kajian-kajian yang terkini juga telah membuktikan bahawa bahasa Melayu berasal dari Kalimantan bahagian Barat.
No comments:
Post a Comment