WAU
Sejarah Asal
Kemunculan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan asal-usulnya. Menurut sejarahwan yang bernama Clive Hart, layang-layang yang ada di Malaysia ini berasal dari negara China. Hal ini demikian kerana, terdapat persamaan dari segi reka bentuknya. Pada masa dahulu, daun kayu yang agak lebar digunakan untuk membuat wau. Kemungkinan besar evolusi layang-layang di Malaysia ini turut diresapi oleh unsur-unsur kebudayaan dari China.
Permainan wau ini turut dikaitkan dengan mitos “semangat padi” yang berasal dari Kedah. Diceritakan bahawa ada sepasang suami isteri yang bekerja sebagai petani dengan menanam padi huma. Suatu hari mereka telah terjumpa dengan seorang bayi perempuan. Mereka memelihara bayi tersebut sehingga dewasa. Si Suami ingin merakamkan rasa syukurnya dan terlalu menyayangi anak gadisnya yang sedang meningkat dewasa itu, lalu beliau selalu membawakan makanan ke tempat anak gadisnya bermain di baluh padi.
Perbuatan si suami itu tadi telah menimbulkan rasa cemburu si isteri lalu menyebabkan dia menyiksa anak gadis mereka itu. Akibatnya anak gadis mereka melarikan diri mengikut arah mata angin barat. Kesannya padi yang dikerjakan oleh mereka tidak menjadi. Menurut Tok Nujum, anak gadis yang mereka besarkan itu sebenarnya adalah “semangat padi”. Tok Nujum menasihatkan petani tersebut untuk memohon maaf dengan cara membuat sebuah lembaga yang menyerupai “wau bulan” lalu diterbangkan menggunakan tali jerami.
Cara Bermain
Wau harus dimainkan di kawasan yang lapang seperti tepi pantai, sawah padi atau padang. Kawasan yang mempunyai banyak bangunan, pokok dan tiang elektrik tidak sesuai untuk dijadikan kawasan untuk bermain wau. Apabila tekanan angin di bahagian permukaan wau semakin kuat maka kemampuan untuk naik lebih tinggi semakin meningkat. Sebaliknya pula apabila adanya daya tarikan graviti iaitu daya yang akan menarik wau untuk jatuh ke bawah.
Permainan wau dimainkan dengan menggunakan satu tali sahaja supaya mudah dikawal di samping muda diterbangkan. Terdapat dua kaedah menaikkan wau iaitu pelancaran dari jarak jauh dan jarak dekat dengan menggunakan tali tangsi. Bagi teknik jarak dekat, pemain perlu berdiri membelakangkan angin, dengan sebelah tangannya memegang badan wau dan dihadapkan kearah angin. Tangan yang di sebelah pula memegang gelung tali wau dan melepaskan wau secara perlahan-lahan sehingga wau naik ke udara. Apabila angin bertiup lemah maka pemain harus menggulung tali wau supaya wau tidak jatuh ke tanah.
Bagi menurunkan wau, dua orang pemain diperlukan, iaitu seorang berperanan untuk menggulung tali dan seorang lagi menarik tali. Penarik tali ialah orang yang menarik tali manakala orang yang menggulung tali ialah orang yang menggulung tali yang telah ditarik oleh penarik tali wau tadi.
Cara membuat
Antara bahan yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan. Di samping itu, kepakaran dan kemahiran juga sangat penting untuk menghasilkan wau yang bermutu dan berkualiti. Sebagai contoh, pembuat wau perlu tahu memilih bahan mentah yang sesuai dan kemahiran kraftangan serta mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang aerodinamik.
Oleh itu,bagi menghasilkan wau yang betul-betul berkualiti, proses pemilihan buluh atau bahan mentah perlu dilakukan dengan teliti. Sebagai contoh, pemilihan buluh untuk membuat wau. Rumpun buluh yang dipilih mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukannya di kawasan semak atau dusun. Seelok-eloknya,buluh yang dipilih kelihatan kering dan berada di tengah rumpun.
Seterusnya, bagi kaedah penyimpanan buluh, sekurang-kurangnya buluh tersebut disimpan selama setahun sebelum diraut menjadi rangka wau. Buluh itu juga perlu disimpan di tempat yang tinggi untuk mengelakkan buluh tersebut dipijak.
Proses seterusnya,meraut buluh. Buluh diraut untuk membuang ruas dan kulit di samping memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Selepas itu, buluh-buluh tersebut akan digosok dengan kertas pasir dan bingkai untuk wau juga dibuat. Kemudian proses memasang tanah dijalankan. Tanah di sini membawa maksud satu lapisan asas yang dipasang pada wau supaya wau tersebut tahan lasak dan tidak ditembusi angin. Proses-proses untuk mengukur,melukis dan menyobek corak akan dilakukan selepas proses-proses di atas selesai.
No comments:
Post a Comment